Rancang Ramadhan anda
Saban tahun, apabila tiba Ramadan, kita dapat lihat pelbagai kata-kata aluan yang dilahirkan sama ada melalui poster-poster, masjid, televisyen, radio, internet dan banyak lagi sebagai tanda gembira dan seronok dengan kehadiran bulan yang penuh berkat ini. Tidak kurang juga diulang-ulang fadilat atau kelebihan-kelebihan bulan ini sebagai motivasi kepada kita semua agar bersungguh-sungguh dan berusaha gigih dalam menghidupkan bulan ini.
Namun begitu, seringkali Ramadan tetap berlalu dengan sia-sia dan tidak seperti yang diharapkan. Niat sudah dipasang, semangat pun berkobar-kobar dengan penuh keazaman. Namun, apabila tiba sahaja Ramadan, pasti berulang perkara yang sama sehingga kita menjadi pening dan keliru dengan situasi ini.
Ada yang semangatnya tinggi pada awal-awal bulan sebaliknya prestasi ibadat jadi semakin merudum sehingga ke akhir bulan. Ada pula yang momentumnya hanya bermula pada tengah-tengah bulan dan yang lebih teruk, ada yang Ramadannya berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Di manakah silapnya?
“Jika kamu gagal merancang, maka kamu telah merancang untuk gagal”. Ungkapan ini sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Konsep yang sama juga diaplikasikan dalam kita mengejar Ramadan yang bermutu. Hal ini kerana kita tidak boleh mengharapkan ganjaran tanpa usaha. Hasil yang terbaik akan kita peroleh dengan perancangan yang teliti dan bersungguh-sungguh.
Tiga puluh hari Ramadan itu bagaikan modal yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tanpa perancangan yang baik, kita akan menjadi tidak teratur dan kelam kabut. Kita akan jadi tidak jelas dengan perkara yang sepatutnya dicapai pada bulan ini. Hal ini boleh menyebabkan kita terkandas dalam usaha merebut ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT.
Sebuah perniagaan yang tanpa perancangan dan pengurusan yang baik akan berdepan dengan kerugian. Begitu juga dengan bulan Ramadan, tanpa perancangan dan pengurusan yang baik kita akan berdepan dengan risiko kerugian. Maksud hadis Rasulullah SAW: “Rugi dan celakalah sesiapa yang menemui Ramadhan tetapi tidak diampuni dosanya”. Jika dalam urusan keduniaan kita sanggup merancang kerana takut mendapat kerugian dan kegagalan, apatah lagi dalam menghadapi Ramadan.
Konsep perancangan untuk Ramadan sama sahaja dengan konsep perancangan dalam urusan-urusan lain, ada objektif dan wasilah. Gariskan objektif yang ingin dicapai dalam Ramadan tahun ini dan apakah mekanisme yang harus dilaksanakan bagi memastikan objektif ini tercapai.
Senaraikan aktiviti-aktiviti yang ingin dilakukan pada bulan Ramadan dan susunkan sama ada dalam bentuk jadual ataupun buat senarai semak untuk memastikan semua aktiviti yang dirancangkan dapat dipantau dan terlaksana dengan baik. Jika tidak yakin mampu dilakukan bersendirian, boleh sahaja diajak kawan-kawan untuk turut serta dalam perancangan ini agar boleh saling membantu.
Contohnya, objektif pada bulan Ramadan tahun ini ialah ingin meningkatkan kadar ibadah dan target yang harus dicapai ialah khatam Al-Quran sebanyak dua kali dan ingin qiamullail pada setiap hari. Maka, dalam usaha untuk melaksanakan perancangan ini, kita haruslah menetapkan sekurang-kurangnya menghabiskan dua juzuk bacaan setiap hari dan tidur awal pada setiap malam selepas solat terawih. Dua perkara ini hendaklah dicatat dalam senarai semak supaya dapat dipantau dengan baik.
Mudah-mudahan, dengan dengan kita merancang Ramadan ini, Allah SWT memandangnya sebagai tanda keinginan dan usaha yang serius dan ikhlas dalam mendekatkan diri kepada-Nya melalui peluang yang disediakan oleh-Nya seperti bulan Ramadan, lalu kita dianugerahkan dengan ganjaran yang besar pada Ramadan ini.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir
UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT