Teater Natrah Musim ke 2 Natrah, Teater hebat berdasarkan kisah sebenar yang berlaku pada tahun 1950 di Singapura akan kembali dipentaskan di Istana Budaya atas permintaan ramai!! Venue Panggung Sari, Istana Budaya Date 25 Nov hingga 5 Dis 2010
PEMENTASAN Natrah musim pertama boleh dianggap berjaya kerana mencatat kehadiran seramai 18,000 penonton sepanjang dua minggu dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), tahun lalu.
Justeru, pementasan musim kedua pada 25 November hingga 5 Disember depan memberi tarikan lebih hebat apabila menampilkan lebih ramai nama besar yang memenangi pelbagai anugerah dalam industri hiburan. Penonton akan mampu melihat pula lakonan Liyana Jasmay, Nabila Huda, Aaron Aziz, Ziela Jalil, Sofia Jane dan Susan Lankester.
Pun begitu Natrah 2 masih mengekalkan Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida, Fahrin Ahmad dan Datuk Rahim Razali.
Rasional pemilihan pelakon besar dianggap pengarah Natrah, Erma Fatima mampu memberi kelainan berbanding tahun lalu.
"Kalau tahun lalu hanya empat nama besar, tahun ini lebih ramai pelakon hebat disenaraikan. Saya berusaha menjadikan Natrah 2 lebih baik. Andai ia gagal, ia bermakna saya juga gagal sebagai pengarah.
"Dari segi barisan pelakon, saya memilih pelakon terbaik dan sudah ada nama, tapi belum pernah berlakon pentas. Bagi saya, mereka perlu membuktikan kemampuan agar lebih 'versatile.' "Ini semua ujian baru barisan ini dan harap terutamanya Aaron dan Liyana membuktikan kemampuan mereka sebagai pelakon pentas. "Sebanyak 30 peratus skrip format asal dirombak. "
Kata Juhari, pementasan teater Natrah kedua dijayakan semula berikutan sambutan menggalakkan diterima.
"Pementasan pertama selama dua minggu tahun lalu turut menarik penonton Brunei dan Singapura. Kali ini, angka penonton bertambah memandangkan tempoh pementasan adalah selama 17 hari.
"Tiket sudah mula dijual sejak dua minggu lalu. Saya harap Natrah kedua menarik lebih ramai penggiat, karyawan atau siapa saja menontonnya.
Difahamkan, Panggung Sari mampu memuatkan seramai 1,400 penonton satu-satu masa.
Natrah berkisar mengenai gadis berketurunan Belanda, Huberdina Maria Hertogh diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Loiusenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun. Maria Hertogh kemudian diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
Berikutan itu, berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan orang tua Natrah di Belanda. Isu perebutan berlanjutan apabila Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung. Konflik agama serta isu penjagaan Natrah menyebabkan rusuhan di Singapura.
Tiket menyaksikan Natrah boleh dibeli pada harga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Untuk pertanyaan, boleh hubungi box-office (03-40265558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my.
cg, ada beza ke jalan cite natrah 1 n natrah 2?
x de beza sgt cme cam dia bagi lagi gempak..cewahhh..hahaha
jalan cite x leh ubah sgt dr cerita asal..cume mgkin dia tmbah darp prop..keberkesanan dalam penghayatan camtu kot..