Wednesday, June 18, 2008

Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar

,
Masalah Hidu Gam Dikalangan Pelajar
Posted by Dr. Tengku Asmadi on Aug 22 2007 Isu Semasa Pelajar

Masalah remaja hidu gam yang melibatkan pelajar sekolah semakin berleluasa. Ia melibatkan pelajar seawal usia 10 tahun. Pada 11 April 2000 pernah berlaku dimana tiga orang remaja berusia 14, 18 dan 20 tahun ditemui mati akibat gejala ini. Gam lebih mudah diperolehi dan lebih murah untuk dibeli menyebabkan gejala tidak sihat ini semakin menular. Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil sesuatu tindakan sebab sehingga kini tiada sebarang akta yang diperuntukkan bagi membendung dan mengatasi masalah ini. Tanpa akta maka masalah yang wujud bukanlah sesuatu yang salah disisi undang-undang. Sekurang-kurang, kerajaan perlu mewujudkan akta bahawa mereka yang dibawah usia 18 tahun tidak boleh membeli gam dalam kuantiti yang banyak.

Gam mengandungi pelarut seperti toluene serta trichloroethylene iaitu toksid yang boleh menggangu fungsi jantung. Jika diambil secara berlebihan, bahan larutan itu akan menyebabkan denyutan jantung tidak stabil, manakala peredaran darah tidak teratur yang akhirnya boleh menyebabkan kematian. Kesan lain pada fungsi otak:

1. menjadi nyanyuk
2. hilang ingatan
3. psikotik atau gila,
4. hilang upaya deria dan
5. kelumpuhan pada bahagian tertentu.

Apabila remaja terlibat dengan gejala hidu gam, ia tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing sebab ia bukannya dadah. Ini menyukarkan kita untuk mengesan mereka yang terlibat dengan masalah ini kecuali ketika mereka sedang melakukannya. Malah ada diantara remaja apabila sudah ketagihan sanggup menggunakan bahan alternatif seperti pencair cat, petrol dan tahi lembu kering. Tahi lembu kering itu dibakar asapnya disedut.

Apakah cara untuk kita mengatasinya?

Ibu bapa perlu prihatin dan awasi tingkah laku anak-anak mereka. Semak bilik, laci dan beg sekolah anak. Awasi pergerakan dan rakan-rakan mereka.
Pendedahan tentang kesan dan akibat daripada gejala ini mesti diberikan bermula dari pelajar sekolah rendah lagi. Lebih efektif jika ditunjukkan video serta gambar-gambar agar timbul rasa gerun dan insaf.

Perlu ada akta bagi menghalang gejala ini agar boleh diadakan penguatkuasaan. Malah mungkin gam dijadikan sebagai barang kawalan yang tidak sewenang-wenangnya boleh dibeli, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak.

Perbanyakkan program motivasi di peringkat sekolah. Program motivasi ini pula perlu dilakukan secara berterusan dan lantik mereka yang pakar untuk menjalankan program-program ini.

Gagal Dalam Peperiksaan?

,
Gagal Dalam Peperiksaan?
Posted by Dr. Tengku Asmadi on Jan 03 2008 Laman Bersekutu, Motivasi Pelajar

Keputusan peperiksaan PMR 2007 telahpun dikeluarkan. Ada pelajar yang berjaya mendapat semua A. Syabas dan tahniah untuk mereka. Tetapi ramai pula pelajar yang gagal dan mereka ini perlu dibantu dan dimotivasikan agar tidak terlalu kecewa dengan keputusan peperiksaan ini.

Terdapat empat kategori pelajar gagal:

1. Pelajar yang memang rajin belajar dan berusaha tetapi gagal. Biasanya mereka gagal untuk dapat ‘Straight A’. Itulah istilah gagal bagi mereka.

2. Pelajar yang memang tidak berusaha dan malas belajar lalu gagal. Malah ada yang telah menjangkakan kegagalan mereka dari awal lagi. Ini berlaku kerana masalah sikap, pergaulan, terlalu mahu berseronok, masalah keluarga dsb. Mereka perlu dikaunseling dan perlu ikuti program motivasi atau pemulihan.

3. Pelajar yang gagal sebab tidak berkemampuan untuk cemerlang dalam akademik. Ini disebabkan kebolehan dan potensinya adalah dalam bidang dan jurusan yang lain. Ada pelajar yang telah berusaha tetapi memang kemampuannya setakat itu sahaja. Janganlah kita marah dan paksa anak untuk lakukan sesuatu di luar batas kebolehan mereka. Sedari potensi anak yang lain seperti dalam bidang sukan, kemahiran tangan, kebolehan komputer dan ICT, seni, keusahawanan, dan sebagainya. Dengan cara itu anak-anak tetap akan berjaya dalam hidup mereka satu hari nanti.

4. Pelajar yang sengaja menggagalkan dirinya atas alasan-alasan peribadi seperti tidak mahu duduk di asrama, tidak mahu bersekolah di sekolah aliran agama, sebagai tanda protes atas masalah yang wujud antara ibu bapa kononnya padan dengan muka mereka. Kumpulan pelajar sebegini memang perlu dibantu melalui sesi kaunseling. Ibu bapa juga perlu sedar kalau anak benar-benar tidak mahu ke asrama maka tidak perlu paksa. Nur Amalina Che Bakri pun mampu dapat 17A1 melalui sekolah harian biasa sahaja.
Untuk bangkit dari kegagalan ini, pelajar perlu jujur dan ikhlas menganalisa diri mereka sebab-sebab dan punca kegagalan itu.

Kalau memang sudah berusaha tetapi gagal maka:

- Mungkin terlalu ‘overconfident’ hingga menyebabkan berlaku kecuaian ketika menjawab soalan. Oleh itu pelajar perlu belajar dari pengalaman ini dan perlu semak jawapan banyak kali. Pelajar perlu ingat kesilapan memang boleh berlaku dalam peperiksaan.

- Gagal sebab tidak tahu teknik dan strategi peperiksaan peperiksaan. Pelajar perlu ikuti program Motivasi dan Kemahiran Belajar.

- Pelajar perlu Belajar Cara Jatuh. Ada pelajar yang ambil tindakan di luar akal fikiran yang waras hingga dulu ada kes pelajar yang bunuh diri disebabkan gagal dalam peperiksaan. Gagal dalam peperiksaan bukannya gagal dalam kehidupan. Sebab itu pelajar perlu belajar cara jatuh dengan cara:

o Terima hakikat tidak semua orang mampu dapat semua A
o Terima hakikat bakat dan kebolehan kita ada ditempat lain
o Ingat manusia hanya mampu berusaha keputusan tetap di tangan Tuhan
o Jadikan kegagalan itu sebagai ‘Stepping Stone’ bukannya ‘Stopping Stone’.
o Tanam azam untuk buat lebih baik dalam peperiksaan yang akan datang. Ada pelajar 5A dalam UPSR tetapi tidak mendapat semua A dalam PMR. Ada pula yang tidak semua A masa UPSR tetapi 8A dan 9A dalam PMR. Oleh itu kegagalan hari ini tidak ada kaitan dengan keputusan kita dimasa akan datang. The past is never equal to the future.
o Mula belajar dari awal tahun dan jangan tangguh menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami.
 

aShiTaNo sEnSeI Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger Templates